Saturday 12 April 2014

Tokoh Pengasas

بسم الله الرحمن الرحيم

Post untuk kali ini akan diceritakan seorang otai yang telah banyak menyumbang dalam penyusunan ilmu Nahu Arab iaitu 'Tokoh Pengasas Ilmu Nahu B.Arab'. Nahuu? Wahh.. best Sangat.. (Tapi Muka Takut-takut je) :). Apa-apa pun, dalam mempelajari sesuatu, kita mestilah memahami apa yang hendak dipelajari. Jom Kenal..

Biografi Abu Aswad al-Du’ali
Tiga tahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W. diangkat menjadi nabi lahirlah seorang tokoh yang terkenal di dalam ilmu Nahu iaitu Abu Aswad al-Du’ali, beliau dari kalangan keturunan kinanah. Nama penuh beliau ialah Zalim b. ‘Amru b. Sufyan b. Jandal b. Ya’mur b. Hils b. Nufathah b. ‘Adiyy b. al-Du’al b. Bakr b. Kinanah.

Sungguhpun Abu Aswad al-Du’ali lahir pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. namun beliau bukanlah dari kalangan sahabat Nabi Muhammad S.A.W. tetapi beliau adalah dari kalangan tabiin. Ini adalah disebabkan beliau tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Abu Aswad al-Du’ali telah berhijrah ke Basrah dan menetap di sana. Sebuah masjid yang didirikan di sana dinamakan sempen nama beliau.

Hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Saidina Ali bin Abi Talib sangat rapat dan beliau akan sentiasa menyebelahi Ali R.A di dalam apa jua situasi. Keakraban di antara Abu Aswad al-Du’ali dan juga Ali R.A. menyebabkan Mu’awiyah telah cuba mengambil hati Abu Aswad al-Du’ali untuk menyebelahinya namun disebabkan Abu Aswad al-Du’ali begitu setia dengan Ali R.A. maka usaha Mu’awiyah untuk memujuk beliau telah gagal.

Abu Aswad al-Du’ali pernah keluar berperang bersama-sama Ali R.A. di dalam peperangan al-Jamal dan Siffin. Ketika di dalam peperangan al-Jamal, Abu Aswad al-Du’ali telah dihantar oleh gebenor Basrah pada ketika itu iaitu Uthman b. Hanif untuk menjadi utusan perbincangan manakala Abdullah b. Abbas pula pernah melantik Abu Aswad al-Du’ali untuk mengetuai tentera Islam di dalam memerangi pihak Khawarij di kawasan Basrah.

                           


Sumbangan Abu Aswad al-Du’ali Di Dalam Ilmu Nahu Bahasa Arab
Ali R.A. adalah merupakan guru kepada Abu Aswad al-Du’ali di mana Abu Aswad al-Du’ali telah mempelajari ilmu Fiqh, al-Quran serta ilmu Nahu dari Ali R.A. mungkin disebabkan ini jugalah menjadikan hubungan Abu Aswad al-Du’ali dengan Ali R.A. menjadi begitu rapat.  Selain menuntut ilmu dengan Ali R.A. Abu Aswad al-Du’ali turut meriwayatkan hadis daripada beliau. Selain meriwayatkan hadis daripada Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali juga ada meriwayatkan hadis daripada Ibn Abbas, Ibn Mas’ud dan Abu Dhar al-Ghifari R.A.

Berkembangnya Islam menyebabkan berlaku percampuran di antara orang Arab dan juga bangsa-bangsa lain yang bukan berbangsa Arab (orang Ajam). Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya percampuran bahasa di antara orang Arab dan juga bukan Arab yang mengakibatkan kerosakan di dalam bahasa Arab atau disebut lahn  (لحن)


Situasi ini sekiranya dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada bahasa Arab yang juga merupakan bahasa al-Quran dan juga bahasa Hadis. Prihatin dengan perkara ini maka Ali R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk menyusun ilmu berkaitan Nahu. Kisah ini telah diriwayatkan di mana pada satu ketika Abu Aswad al-Du’ali telah datang mengadap Ali R.A. pada waktu itu terdapat lembaran kertas di tangan Ali R.A., Abu Aswad al-Du’ali pun bertanya kepada Ali R.A. tentang kertas tersebut. 
Kemudian Ali R.A. telah menjawab beliau berhajat untuk menyusun mengenai bahasa Arab supaya ia boleh menjadi rujukan dan panduan kepada orang-orang Arab yang mana bahasanya telah tercemar akibat pergaulan dan percampuran mereka dengan orang-orang yang bukan berbangsa Arab. Setelah itu Ali bin Abi Talib R.A. telah meminta Abu Aswad al-Du’ali untuk meneruskan tugas tersebut. Maka Abu Aswad al-Du’ali menjalankan tugas yang telah diarahkan oleh Saidina Ali R.A. di dalam  menyusun kaedah Nahu demi menjaga keaslian bahasa Arab dari tercemar dan rosak. Kisah ini adalah merupakan hujjah yang mengaitkan Abu Aswad al-Du’ali sebagai tokoh pengasas ilmu Nahu.


Meletakkan Titik Pada Huruf al-Quran
Selain terlibat menyumbang bakti di dalam penyusunan kaedah Nahu bahasa Arab, Abu Aswad al-Du’ali juga terlibat di dalam meletakkan titik / nuqat pada huruf-huruf di dalam bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran. Tulisan atau huruf-huruf bahasa Arab / ayat-ayat al-Quran yang mempunyai titik seperti yang kita lihat pada zaman ini pada asalnya huruf-huruf tersebut tidak mempunyai titik tetapi ia ditambah kemudian. Arahan untuk meletakkan titik / nuqat pada huruf Hijaiyah telah dibuat oleh Ziad bin Abu Ziad seorang pemimpin Basrah pada zaman pemerintahan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufian.


Sumber:
http://yazidothman.blogspot.com/2012/07/abu-aswad-al-duali-tokoh-pengasas-ilmu.html

No comments:

Post a Comment